24 May 2006

Satu detik yang pantas

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Masa yang berlalu semakin pantas. Tanpa sedar masa yang semakin mengejar kita dengan pertambahan minit, jam, hari, minggu dan bulan yang berlalu dengan semakin cepat. Seolah-olah hambatan waktu yang tidak pernah cukup, serasa masa menjadi benar-benar singkat dan serasa masa semakin tidak ada.

Benarkah, di akhir zaman yang semakin hampir, masa di dalam dunia kita, di dalam diri kita semakin tidak terkawal? Benarkah, seiring dengan masa yang kian tidak terkawal, kita jua semakin alpa sehingga tidak sedar, masa yang pantas membuktikan kita jua sudah semakin sampai ke penghujungnya...

Hargailah masa, walaupun sedetik cuma, kerana yang sedetik itulah kini telah menginjakkan usia kita di dunia ini dan semakin mendekatkan kita untuk bertemuNya di sana nanti. Redhakah Dia pada kita hambaNya yang banyak melakukakan dosa yang tidak pernah putus saban saat? Redhakah Dia agaknya??

Tuntutlah ilmu, ajarkanlah ilmu...

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Firman Allah Taala :

Maksudnya :

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu"

(Surah Faatir :28)

Terkadang kita alpa, lupa kita pada tuntutan ke atas ilmu pengetahuan. Apa yang diketahui pada kebiasaannya, orang yang menuntut ilmu hanyalah orang-orang yang pergi ke sekolah atau ke universiti sedangkan dalam konteks ilmu itu sendiri tidak terbatas. Tanpa kita sedar, seungkai kata-kata yang baik dan kita jadikan panduan menunjukkan ilmu yang telah kita kutip dan kita amalkan. Menuntut ilmu, bukanlah hanya di hadapan cikgu, ustaz, pensyarah, doktor atau profesor sahaja. Lebih luas ruang lingkupnya hinggakan laluan angin di dedaunan yang mewujudkan rasa kewujudanNya pada diri kita menunjukkan keluasan ilmu milikNya sendiri.

Sama juga konteks menuntut dan mengajar. Bukan sepatutnya bergelar golongan pendidik, barulah tugas mengajar itu kita sandang. Sewajarnya pendirian sebegini kita buang jauh-jauh dari kotak minda kita kerana tempoh pengajaran dan apa yang diajar jua tidak terbatas hanya pada ruang-ruang kelas dan bangunan-bangunan pendidikan sahaja. Ibu yang mengajar anaknya menyuap sesuap nasi dengan sendiri juga merupakan satu tempoh pengajaran yang cukup menguji si pengajarnya, walau mungkin si ibu hanyalah seorang ibu tua yang duduknya di ceruk dapur tanpa pernah mengenal apa-apa huruf dan nombor. Ajarlah selagi termampu, ajaran yang baik yang diredhaiNya, walau sekadar sepatah kata yang mempunyai berjuta maksud ke arah kebaikan dengan sepenuh keikhlasan.

Firman Allah Taala:

Maksudnya :

"Serulah ke jalan TuhanMu (wahai Muhammad) dengan hikmat pengajaran dan nasihat pengajaran yang baik."

(Surah An Nahl :25)

Keindahan dunia kealpaan akhirat

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Air terjun yang indah, laut yang luas terbentang dan keindahan maya yang segalanya boleh dibayangkan di hadapan mata, ditambah lagi dengan hiruk pikuk kota-kota metropolitan, bangunan-bangunan tinggi pencakar langit, filem-filem aksi, animasi dan cinta, permainan-permainan berkomputer, lagu-lagu yang diadunkan dengan video klip pelbagai jenis dan pelbagai lagi keindahan yang ada di dunia. Gadis-gadis yang cantik dijadikan ekploitasi kepada kehendak dunia juga menjadi sandaran kepada yang hanya 'ingat' kepada dunia. Sering leka dengan kereta berjenama, rumah banglo besar tersergam indah dan segala kekayaan yang diraih dengan pelbagai cara.

Buat yang bukan Islam, mungkin ada sebilangan besar yang turut bersedia dengan pelbagai fahaman agama masing-masing untuk menanti tibanya akhir zaman yang amat hampir (siapa sangka, bukan azab akhir zaman yang ditakuti yang dinanti, tapi di penghujung usia jua, kematian bukan memilih sesiapa, maut jua amat dekat dengan kita). Itulah penghujung dunia kita yang sering manusia alpa.

Alam akhirat dilupakan dan alam dunia menjadi tonggak kehidupan. Terkadang kealpaan ini bukan saja meragut segala masa senggang untuk beribadat, malah jaga meraih masa-masa kehidupan hingga kesemuanya dihumbankan kepada dunia, sedang dunia hanyalah sebuah ladang tanaman yang diusahakan seorang musafir yang akan kembali ke 'kampung halamannya' bersama hasil yang dituai. Jika baik hasilnya, maka baiklah rezeki yang akan dibawa pulang ke 'kampung' nanti. Jika tidak baik hasilnya, hasil tuaian yang buruk apakah akan menjanjikan kesenangan di 'sana' nanti?