12 June 2009

Ada Ikhlas 1

"Nak yang mana?"

"Yang hijau...tambah ais banyak sikit ya..."

"Makan ais banyak sangat tak elok untuk kesihatan..."

"Eh...abang kan penjual...saya bayar lebih la untuk harga ais.....taknak untung ke?"

"Bukan macam tu...abang tak nak tengok adik tak sihat nanti...siapa nak beli dari abang hari-hari lain...".

Hazwan menarik nafas panjang. Langkah dua orang anak gadis berbaju seragam berwarna biru itu diperhatikan tanpa perasaan. Apabila kelibat itu hilang di balik bangunan tinggi di hadapannya, pandangan matanya segera dialihkan ke arah tong-tong air pelbagai warna. Matahari cukup terik memancarkan cahayanya pada hari ini. Risau benar dia jika teriknya mentari akan mengurangkan jumlah air di dalam tong yang menjadi sumber rezekinya.

"Ha....dah mula berkenan?!"

Hazwan menoleh ke kanan, tidak bereaksi melihat Saiful yang leka membelek telefon tangannya. Bangku biru di sisi Hazwan ditarik, dan dengan mata yang masih leka membelek telefonnya, Saiful segera melabuhkan dirinya di sisi Hazwan.

"Berkenan?"

"Yalah....aku rasa salah seorang dari budak-budak tu pun berkenan kat kau....asyik datang beli air je....".

Hazwan segera tersenyum.

"Kau ni....membuta tuli je buat tuduhan. Aku pun tak ingat bila masa budak-budak tu datang beli air kat sini. Kau dah solat Zuhur?"

Saiful menggelengkan kepala. Telefon di tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

"Aku uzur..", sambutnya dengan sengihan lebar.

"Ishh....kau nak ke?"

"Nak apa?"

"Uzur la....kenapa tak solat lagi? Dah dekat pukul dua ni....".

Saiful masih tersengih.

"Kau pergilah dulu. Aku jaga gerai..."

"Nanti kau tak nak pergi solat..."

"Aku pergi la nanti....lepas kau...".

Hazwan segera bangun dari duduknya. Batang kayu kecil yang diikat plastik di hujungnya diserahkan kepada Saiful.

"Nah....halau semua lalat-lalat tu. Jangan leka pulak...."

"Air tu semua dah bertutup. Kenapa masih nak halau lalat..."

"Tutup tu bukannya rapat sangat. Takkan nak bagi pelanggan minum air yang tak elok..."

Hazwan segera beredar menuju ke pagar masjid. Tadi, dia mahu solat berjemaah. Namun, ramai pula pelanggan yang membeli jualannya selepas azan Zuhur tadi. Saiful pula hilang entah ke mana. Sudahnya, dia terpaksa akur dengan tugasnya yang tidak tentu masa.

"Kau ni baik sangatlah Wan....", perlahan Saiful berbicara pada dirinya sendiri sambil menghayun-hayunkan kayu yang berikat plastik tadi.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home