21 April 2009

Cuba Lagi

BAB 2

Ibu masih menangis. Cerita Kakak Amira. Hanya Kakak Amira yang menghubungkan Kiki dan keluarga sejak kejadian dua tahun lepas. Atas satu sebab sahaja. Kakak Amira boleh dipercayai. Sejak Kiki berkongsi ruang di dalam perut ibu dengan Kakak Amira.

“Bila Dik Qi nak balik? Abi dah tak marah dah tu. Lagipun, bangunan dewan tu dah runtuh. Memang Uncle Zukiman tak tahu menghargai kepercayaan abi...”, Kakak Amira asyik memujuk Kiki. Memang Kiki tahu. Kiki terjumpa dalam suratkhabar dua bulan sudah. Dewan yang menyebabkan Kiki terpisah dari keluarga sudah runtuh. Rekabentuk besi tetulang tidak menepati kiraan yang ditetapkan. Besi kurang, air dalam konkrit lebih, pasir lebih, tidak mencapai gred kekuatan yang ditetapkan mengikut MS, apatah lagi BS, tidak ada cube test, tidak ada slump test, dan tidak ada bukti bahawa abi telah melaksanakan kerja pembinaan mengikut spesifikasi. Abi rugi teruk, ibu asyik menangis, Kakak Amira tidak jemu memujuk, dan Kiki masih melayan perasaan jauh di rantau orang.

“Nantilah kak. Kiki akan pulang. Tapi bukan sekarang.”

“Dik Qi kat mana sekarang?”.

Berjuta kali pertanyaan serupa ini memenuhi ruang pendengaran Kiki. Nombor telefon yang disembunyikan dengan pertolongan seorang sahabat di syarikat telekomunikasi memudahkan Kiki menghubungi Kakak Amira. Seminggu sekali, Kiki akan menghubungi Kakak Amira untuk mengetahui perkembangan keluarganya. Namun, tidak pernah sekali pun lokasi persembunyiannya diberikan kepada kakaknya itu. Kiki masih belum bersedia walau sudah dua tahun berlalu.

Krak! Pintu bilik Kiki dibuka.

Kiki segera memutuskan talian. Telefon tangan dilarikan ke sisi bantal. Mak Ibah sudah berdiri di belakang Kiki.

“Makcik ingat Qila masih tidur. Demam dah kebah?”

Kiki segera bangkit. Menarik tangan Mak Ibah ke dahinya. “Tak panas dah kan?”.

Mak Ibah menganggukkan kepala. Senyum Kiki sering membuatkan dirinya merasa tenang. Senyum keikhlasan yang menenangkan hati. Sewaktu Datin Maria menggajikan Kiki sebulan yang lalu dan memperkenalkan Kiki kepada Mak Ibah, Mak Ibah sudah boleh merasakan kejujuran dan keikhlasan di dalam diri Kiki.

“Dah makan ke belum? Makcik dah masak roti jala. Munir dan Mazlan dah makan. Datin Maria ada call tadi...Datin kata, kalau Qila masih tak sihat dia nak suruh Qila pergi klinik.”

Klinik?! Oh no! “Tak apalah Mak Ibah. Saya dah sihat. Jom, perut pun dah lapar ni.”

Mak Ibah hanya menggelengkan kepala. Dua hari yang lalu, Kiki tiba-tiba rebah di hadapannya. Mujur Mak Ibah tidak cepat panik. Apabila Kiki sedar, Mak Ibah sudah membaringkan Kiki di atas katil. Kata Mak Ibah, “Ringan je...tak susah pun makcik nak angkat dan letak atas katil. Badan Qila panas sangat.”

Malam-malam, dalam kelesuan, Kiki bangun dan buat air asam jawa. Kiki sediakan bekas berisi air dan tuala lembab. Kiki letak tuala di dahi dan balut badan dengan selimut. Kiki meracau dalam tidur, tapi dalam tempoh dua tahun ini, sudah banyak kali Kiki lalui demam berseorangan. Tiada ibu, tanpa Kakak Amira. Di pelbagai lokasi, dalam pelbagai situasi.

Selalunya, demam Kiki mudah kebah. Pun, kerana risaukan Kakak Amira juga akan demam sepertinya, Kiki seolah-olah terlupa janji hendak menghubungi hanya seminggu sekali. Atas sebab itu Kiki menghubungi Kakak Amira. Syukurlah, Kakak Amira tidak demam.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home