13 June 2009

Ada Ikhlas 2

"Cincau dua ya..."

Terangguk-angguk kepala Saiful sambil tangannya laju menarik dua buah buah cawan plastik yang bersusun di dalam balutan plastik. Cawan-cawan plastik itu diisikan dengan air gula, dan kemudian dengan air cincau. Lelaki muda di hadapannya cepat-cepat mengeluarkan dua helai not biru dari poket seluarnya. Tangan Saiful makin laju. Mengambil penutup cawan dan penyedut minuman dan memasukkan kedua-dua cawan air tadi ke dalam sebungkus plastik.

"Terima kasih...", sejurus, dua cawan air dan dua keping duit bertukar tangan.

Saiful mengambil batang kayu berikat plastik dan mula menghayunnya semula. Matanya memerhati ke arah pagar masjid. Kelibat Hazwan masih belum kelihatan. Masak benar dia dengan perlakuan Hazwan ketika bersolat. Pasti bertukar kain dan baju lain yang bersih. Bukan baru sebentar dia mengenali Hazwan. Anak muda itu muda dua tahun dari dirinya, tapi sikap tanggungjawab disulam dengan akhlak yang cukup baik, Saiful merasa amat bertuah dapat mengenali Hazwan.

"Bang...nak air biji selasih satu"

Saiful segera bingkas bangun. Anak gadis di hadapannya memang amat dikenalinya. Saban hari datang ke gerai itu dan membuat pesanan secawan air biji selasih. Namanya, Saiful tidak berani untuk bertanya. Bukannya apa, kereta gadis itu yang diberhentikan di hadapan gerai tersebut dari jenis Honda Civic, malah pakaian yang disarung di tubuh pula amat jelas menunjukkan bahawa pemakainya bukan calang-calang orang.

"Panas betul ya dik....", Saiful cuba berbasa-basi. Anak gadis itu hanya tersenyum (manisnya menusuk ke dalam minda Saiful) dan kemudian segera beredar masuk ke dalam keretanya. Saiful hanya memerhatikan. Tajam.

"Kau pun dah mula berkenan?"

Suara itu membuatkan pandangan Saiful beralih arah. Wajah Hazwan kelihatan cukup segar dan bertenaga. Nampak kesan solatnya yang penuh khusyuk dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Berkenankan apa?"

"Pemandu Honda Civic..."

"Selalu dia datang ke sini kan? Boleh dikatakan hari-hari...."

"Aku pun perasan. Kalau beli pun, beli air biji selasih aje....dah, jangan banyak cerita hal orang lain pulak. Dah nak pukul tiga ni...kau belum solat Zuhur lagi...".

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home