03 July 2009

Ada Ikhlas 3

Saiful segera memasukkan telefon tangannya ke dalam kocek. Dia akur, solatnya sudah lewat benar pada hari ini.

"Jangan lupa tukar seluar....kaki seluar tu kotor...menyapu jalan....", Hazwan menunjuk ke arah kaki seluar Saiful yang sudah berwarna kekuningan. Debu-debu jalan di hadapan kawasan perindustrian yang tidak berturap.

Saiful hanya menganggukkan kepala. Dia mencapai beg plastik di sisi Hazwan. Hazwan seakan faham dan hanya diam tanda mengiyakan Saiful menggunakan pakaian solatnya.

"Lepas solat jangan hilang ya....kau pun tahu pukul empat setengah memang akan ramai pelanggan."

Saiful angguk lagi. Matanya dikenyitkan dengan tangan sebelah kiri menunjukkan ibu jari arah ke atas.

"Aku pergi dulu...".

Hazwan pula menganggukkan kepalanya.

Saiful melangkah menuju ke pagar masjid, dan Hazwan menyambung mengambil alih tugas menjaga gerai.

Tidak sempat dia mengelamun sedikit pun.

Selang beberapa minit, bunyi motor tiba-tiba sahaja berhenti di bahagian sisi gerai. Hazwan segera bangun. Rutin biasa. Syafiqah, anak gadis bertocang ekor kuda, iaitu adik Saiful menghantar tiga bekas berisi enam jenis kuih.

"Kuih apa hari ni?"

"Macam biasa. 120 kuih karipap, lain-lain ada popia goreng 60, cucur badak, seri muka, pulut panggang dan kuih lapis. Tapi tak banyak sebab semalam buat kuih lapis satu talam potong 30 pun, cuma sepuluh saja yang laku...".

"Kuih manis...biasa la. Kalau di Kelantan mesti laku kan?"

"Agaknya la...eh...abang Saiful mana? Aku tengok asyik kau aja yang jaga gerai...nanti aku bagitau ayah kalau abang aku tu asyik curi tulang je....".

Syafiqah sebaya dengan Hazwan. Bersekolah di sekolah yang sama, cuma tidak pernah sekelas. Atas ihsan ayah Saiful yang sudah bersara dari tentera membolehkan gerai lama menjual goreng pisang di kawasan perindustrian tersebut dibuka semula.

"Dia pergi solat."

Syafiqah membelek jam di tangannya.

"Dekat pukul empat. Solat apa?"

"Tadi dia jaga gerai..."

"Ala Wan....tak payah kau nak backing abang aku tu. Dia memang selalu macam tu. Eh, aku balik dulu. Nak singgah kedai untuk ready bahan esok pagi...".

Syafiqah, dalam lasak-lasak begitu pun, dia pakar dalam membuat kuih-muih. Dia rajin menuntut ilmu memasak dari ibunya, Mak Cik Salmah. Malah, bukan sahaja kuih-muih, awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan menyediakan nasi lemak berlauk dan juga beberapa juadah lain untuk dijual.

"Kalau tak habis nanti, kau hantar je ke masjid. Mak aku bagitau, malam ni mungkin ada tahlil...", sempat Syafiqah mengingatkan sebelum dia beredar dari situ.

Rutin harian setiap hari Khamis malam Jumaat. Mana-mana kuih dan air yang tidak habis akan disedekahkan terus ke masjid. Agaknya, itu salah satu sebab rezeki Saiful sekeluarga tidak pernah putus. Mereka sangat ikhlas dan pemurah.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home