25 April 2009

Cuba Sambung Sikit Lagi

BAB 3

“Maaf terputus tadi.”

Selepas sejam, Kiki menghubungi Kakak Amira semula. Terdengar keluhannya.

“Akak dah tahu. Dah biasa. Selalu pun macam ni. Sampai bila Dik Qi nak hidup dalam bayang-bayang ni?”.

Sampai abi sedar? Yup! Abi dah sedar. Sampai semua orang cari Kiki? Macamana nak cari? Apabila sudah hampir ditemui, Kiki akan mula melarikan diri. Kiki tahu, semua orang masih mencari Kiki. Terutama apabila menjelang 1 Syawal. Sudah dua tahun Kiki tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ibu, bersama keluarga.

“Banyak lagi yang Kiki belum belajar, kak. Kiki nak timba ilmu banyak-banyak, supaya nanti abi tak akan mampu mengata Kiki sebagai anak kecil yang baru setahun jagung. Kiki nak tambahkan ilmu, luaskan pengalaman, dan bila Kiki rasa semuanya dah cukup, Kiki akan pulang.”

“Janji?”

“InsyaAllah...”. Itulah yang sering Kiki ucapkan. Saban minggu, Kakak Amira tidak pernah jemu memujuk. Cerita Kakak Amira lagi, apabila sambutan hari lahir tiba, ibu akan sediakan dua biji kek. Ibu tidak pernah lupa. Kek mesti ada dua. Satu untuk Kakak Amira. Satu untuk Kiki. Pun, dalam tempoh dua tahun ini, kek milik Kiki tidak ada sesiapa yang memotongnya. Kek itu akan disedekahkan ke rumah anak-anak yatim selepas majlis hari lahir diadakan.

“Abi dah dapat job baru.”

Kiki tersentak. Sudah lama tidak mendengar tentang projek baru yang berjaya diperolehi abi.

“Dah dua tahun berlalu. Kes dewan runtuh pun dah ditutup. Memang abi tak salah. Semasa keputusan untuk rasuk bumbung dibuat, abi tidak berada di Malaysia hampir sebulan. Ternyata, pekerja terjumpa semula surat yang ditandatangani oleh Uncle Zukiman untuk mengubah skop kerja menggunakan material yang lebih murah.”

Alhamdulillah, itu saja yang mampu Kiki ucapkan di dalam hati.

“Abi dah tak ada project engineer.”

“Abang Amar kan ada?”.

“Abang Amar di Australia sekarang. Ada program bersama beberapa jurutera dan Pegawai Tadbir Diplomatik dari Malaysia. Kalau tak silap, diorang nak upgrade bangunan kedutaan di sana. Abang Amar dapat job tu. Mana boleh ganggu Abang Amar dalam tempoh dua atau tiga tahun ni.”

Suara Kakak Amira tiba-tiba hilang. Diganti dengan suara Datin Maria kepada Kiki sepuluh hari yang lalu, “Qila, saya dan Datuk akan ke Australia untuk program menaiktaraf kedutaan di sana. Qila kena tengok-tengokkan Munir dan Alan tu, terutama Alan.”

“Kak, ramai ke yang pergi?”

“Pergi mana?”

“Australia la....”.

Kakak Amira tidak menjawab. Kiki dapat mengesan yang Kakak Amira dapat mengesan sesuatu. Bukankah kepandaian Kiki sama saja dengan Kakak Amira sewaktu zaman persekolahan dulu. Malah, Kakak Amira cukup kenal dengan Kiki yang tidak suka mengambil tahu hal orang lain.

“Kenapa tanya?”.

Kiki pula yang mendiamkan diri. Tidak mahu menyebut apa-apa lagi. Malah, bunyi riuh rendah di luar biliknya menyebabkan dia segera menukar topik perbualan. Dapat didengari gelak tawa Munir dan Mazlan yang agak kuat. Datuk dan Datin dah balik ke? Bukankah sepatutnya lagi enam hari, atau balik awal kerana risaukan Munir yang demam rindu dua hari lepas dan telah menjangkitkan virusnya kepada Kiki.

“Kak, maaf. Kiki ada kerja sekarang. InsyaAllah nanti Kiki call lagi.”

Telefon tangan segera diletakkan di bawah bantal. Tidak ada sesiapa yang akan menelefon selain dari Dahlia dan Taufiq. Hanya mereka berdua yang mengetahui nombor telefon Kiki. Taufiq, sahabat di zaman universiti yang kini berada di dalam satu pejabat yang sama dengan Kakak Amira. Dahlia pula, sahabat karib di zaman persekolahan yang kini sudah membuka syarikat guamannya sendiri di ibukota Kuala Lumpur. Dua orang sahabat yang boleh dipercayai, menyimpan rahsia Kiki dalam tempoh dua tahun ini dari pengetahuan keluarga.

“Mana Qila, Mak Ibah?”, suara garau itu diserap oleh gegendang telinga Kiki sewaktu dia sedang memegang tombol pintu bilik. Bukan suara Datuk.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home