02 May 2009

Belon Ungu Saya

“Dia dalam bilik tu. Demamnya belum betul-betul kebah...”.

“Dia dah pergi klinik?”. Oh no! Cepat-cepat Kiki melangkah keluar dari bilik.

“Dah pergi semalam...”, laju Kiki menjawab soalan Muzammil sebelum sempat Mak Ibah memberitahu kebenaran. Muzammil sedikit tersentak apabila melihat Kiki tiba-tiba berdiri di hadapannya. Namun, anak muda itu cepat-cepat membawa tenang ke dalam dirinya semula. Tiada sekuntum senyum pun di wajahnya yang kelihatan penat. Letih memandu dari Kuala Lumpur agaknya.

“Kalau dah pergi baguslah. Beria-ia mama call minta saya balik tengokkan rumah. Bukannya dekat nak memandu balik ke sini.”

Bungkusan plastik di tangan, Muzammil letakkan di atas meja makan. Beg sandang kecil di bahu yang pada jangkaan Kiki berisi komputer riba segera dibawa naik ke tingkat atas. Mata Mak Ibah tajam memandang Kiki. Kiki hanya tersenyum kecil dan segera memaut bahu Mak Ibah.

“Bukan niat saya nak menipu, Mak Ibah. Saya tak nak Muzammil dan Datin susah hati...”. Suara Kiki perlahan. Memastikan Muzammil tidak mendengar apa-apa. Mak Ibah tersenyum semula. Memang sejak dua hari lepas, Mak Ibah dapat lihat yang Kiki tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Bukannya Mak Ibah tidak nampak yang Kiki bangun di tengah malam melapikkan kepala sendiri dengan tuala lembab, menyelimut badan sendiri dalam keadaan menggigil kesejukan akibat demam yang agak teruk. Walau tiada selera makan, Mak Ibah tahu Kiki cuba juga makan dalam kuantiti yang agak banyak. Semangatnya kuat. Anak siapalah agaknya, hati Mak Ibah berbisik sendiri.

“Yalah...makcik boleh faham. Jom, sediakan makan tengahari ni. Muzammil dan adik-adiknya mesti nak makan tu. Tapi, kalau rasa macam nak tumbang, pergilah Qila berehat dalam bilik. Makcik taknak tengok Muzammil pula yang angkat Qila ke katil nanti....”.

Kiki mencebikkan mulut. Mak Ibah ni boleh tahan juga usikannya. Tangannya segera mencapai bungkusan plastik yang diletakkan oleh Muzammil di atas meja makan.

Ada dua bungkus laksa, sebungkus air nenas bersama ketulan nenas segar yang dipotong dadu, dua bungkus keropok lekor dan dua botol air mineral bersaiz kecil. Kiki segera mencuit Mak Ibah yang sedang memotong sayur-sayuran di sinki.

“Mak Ibah order laksa dengan Muzammil ke?”. Mak Ibah menganggukkan kepala.

“Air nenas ni juga?”.

“Tu untuk Qila. Laksa dan air nenas. Semalam kan Qila kata Qila nak makan laksa dan minum air nenas yang macam tu...”.

Dahi Kiki berkerut.

“Bila masa saya beritahu Mak Ibah?”. Seingatnya, keinginan semasa demam itu tidak pernah diluahkan kepada sesiapa. Jika ada rezekinya, barulah dia akan mendapatkan laksa dan air nenas itu dengan membelinya sendiri. Kalau dahulu, ibu tidak pernah lupa untuk membuatkan laksa dan mencari nenas untuk dibuat air ketika Kiki dan Kakak Amira demam.

Pantas Mak Ibah memeluk bahu Kiki. Dia mengelus kepala Kiki yang dilapik sehelai tudung berwarna ungu.

“Mak Ibah beritahu saya yang Qila meracau malam tadi. Bercakap macam-macam hinggakan terkeluar laksa dan air nenas. Boleh bercerita lagi nak air nenas dengan nenas yang dipotong dadu. Kebetulan saya tahu mana nak cari semua tu, so saya belikan sebelum balik tadi. Permintaan orang demam....”

Belum sempat Mak Ibah membuka mulut, pantas saja Muzammil bercerita. Entah bila dia masuk ke dapur, Kiki tidak tahu. Pakaiannya sudah bertukar. Sut yang tadi melekat di badannya sudah tiada. Kini Muzammil berseluar track dan berbaju t-shirt lengan pendek berwarna kelabu.

“Ok ke? Sama macam dalam mimpi?”, tanya Muzammil lagi. Kiki benar-benar terkejut. Teruk sangatkah demamnya kali ini? Kiki hanya menganggukkan kepalanya sejurus sebelum Muzammil beredar dari ruang dapur sambil membawa sneakersnya.

“Mak Ibah, apa lagi yang saya sebut dalam mimpi?”.

“Ermm...Mak Ibah tak ingat sangat. Tapi lama juga Qila meracau. Dekat 15 minit kot. Ada sebut abi, ibu, kakak Amira dan Laila Kamal Consultancy. Ada juga nama Pakcik Zukiman....hmmm, lebih kurang macam Qila bercerita pula kepada makcik. Siapa tu? Keluarga Qila ke?”

Labels: