21 April 2009

Masih Ada Kenangan

Lama sudah saya tidak menulis. Sejak saya 'meninggalkan' dunia maya seketika dulu. Ya, di saat sebuah novel hasil tulisan saya yang tergantung di tengah jalan dan waktu itu ianya disalin ke dalam banyak komputer rakan-rakan maya saya. Malah, ada yang menelefon dan menghantar email pun berkaitan novel tersebut.

Lagi pula, saya masih boleh membacanya pun kerana sekiranya saya menaip tajuk novel tersebut di Yahoo Search, saya masih boleh mendapatkannya. Oh, sambungannya sudah tentu ada dan ceritanya hampir ditamatkan. Tapi, biarlah rahsia. Novel itu sudah berkubur menjadi kenangan yang tidak akan saya paparkan lagi di dunia siber ini.


Hari ini, saya mahu paparkan sebuah cerita lain pula. Tajuknya : BELON UNGU.
(Paling pasti, saya masih tidak dapat mengaitkan antara tajuk dan isi cerita yang saya sedang tulis...)

Inilah cerita saya...

BAB 1

Sudah lama tidak menulis. Hati rasa jauh dari tulisan, luahan hati yang jarang ditinggalkan. Sebelum ini. Bukan sekarang.

Kiki melepaskan pen di tangan. Penat. Mata ditancapkan jauh-jauh ke hadapan. Alam putih susu. Ombak memukul pantai dan jelas di telinga. Cepat-cepat Kiki angkat kepala. Melangkau tubir daun tingkap. Nampak dua orang anak kecil sedang bermain di gigi pantai. Laju kepalanya merumus. Teriakan gembira lebih jelas memukul gegendang telinga. Pantas Kiki bangun. Dicapai tudung di penyangkut. Jubah cepat-cepat disarung.

Kiki sempat menjenguk dapur. Mak Ibah tidak ada. Patutlah. Laju Kiki menyarung selipar.

“Munir! Mazlan! Buat apa di sini?”.

Dari bilik, Kiki nampak macam dekat saja mereka bermain dengan gigi pantai. Mujurlah agak jauh. Ombak Laut Cina Selatan bukan boleh dijangka. Walau mereka membesar di daerah itu, tidak bermakna ombak cukup kenal pada mereka berdua hingga tidak menimbulkan bahaya. Mata Kiki melirik ke arah dua menara kecil dari pasir. Tin kosong dan pengorek tanah Mak Ibah bergolek. Bulat mata kecil Munir melihat Kiki. Mazlan buat tidak endah. Saja memperkemas binaan istana yang sudah roboh. Kiki terlanggar tanpa sengaja seketika tadi.

“Bosan la kat rumah. Nama aje cuti sekolah. Ayah tak ada. Mama pun tak ada. Abang Muzammil pun tak balik. Abang Munawwar pun sama. Nak layan PSP pun dah takde mood.”

Suara Mazlan bernada jujur. Mata Munir masih bulat meihat Kiki. Kiki terdiam. Datuk Jalal dan Datin Maria ada urusan di luar negara. Australia. Sejak minggu lepas. Dua orang anak kecil ini memang ditinggalkan di bawah jagaan Kiki. Munir, baru Darjah Dua. Mazlan pula, sudah Darjah Enam. Ada UPSR yang menanti tahun ini. Menjadi sebab ditinggalkan mama dan ayah keluar negara. Muzammil, yang sulung, baru pertama kali ditemui, bekerja di Kuala Lumpur. Jarang balik, rumus Kiki kerana Kiki baru bertemunya sekali dalam tempoh sebulan ini. Munawwar pula, memang tidak pernah ditemui. Kata Mak Ibah, sedang belajar di seberang laut agaknya. Mak Ibah juga tidak pernah berjumpa dengan Munawwar. Mak Ibah sudah setahun menjadi pembantu kepada Datin Maria. Kiki baru sebulan.

“Boleh main di sini, tapi kenalah bagitau akak dulu.”

Mata Munir mula mengecil. Kalau mamanya ada, Munir akan duduk jauh-jauh dari Kiki. Dia tidak pernah meminta apa-apa dengan Kiki, menyebabkan Kiki juga kurang melayan si kecil itu.

“Jom bina semula istana...”

Kiki segera mencangkung di sebelah Munir. Menguis kawasan runtuhan dan memasukkan pasir-pasir halus ke dalam tin kosong. Apabila sudah penuh, ditekan pasir-pasir itu dalam-dalam supaya padat. Konsep binaan bangunan besar yang sama, tanah perlu dipadatkan dengan peratusan yang telah ditetapkan untuk memastikan kestabilan kepada bangunan yang dibina. Seolah-olah suara Dr. Hamidon memenuhi deria dengar Kiki.

Kiki menelangkupkan tin berisi pasir padat. Bersebelahan dengan menara istana Munir. Apabila tin diangkat, pasir yang tertinggal nampak kukuh dan cantik. Perlahan, Kiki nampak Munir menoleh ke arah Kiki dan tersenyum. Senyuman pertama Munir kepada Kiki. Dalam tempoh sebulan.

“Nak tinggikan menara?”, tanya Kiki kepada Munir.

Kiki nampak Munir menganggukkan kepala. Kiki senyum. Puas hati kerana mampu menggembirakan Munir. Tambahan pula, Kiki sudah lama tidak membina istana pasir. Kali terakhir, pada usia lima tahun bersama Abang Azhar dan Kakak Amira. Di tepi pantai Port Dickson. Enam belas tahun sudah.

“Kak Qila biasa buat istana pasir?”. Wajah Mazlan memerah. Panas matahari tepi pantai, walau matahari belum segalah tinggi. Kiki mengangguk. Mengiakan tanya anak-anak kecil yang dahagakan kasih sayang keluarga.

“Tapi lama dah. Sekarang dah tak buat.”

Sekarang, kalau boleh ingin bina istana betul. Bukan main-main. Bukan olok-olok. Mahu bina bangunan yang lebih kukuh. Mahu mempraktikkan apa yang sudah dipelajari. Lambat-lambat, Kiki mengetapkan bibir. Melepaskan resah yang terkurung bersama masa. Ibu tidak tahu. Abi juga. Kiki sendiri melayan sendu jauh dari keluarga.

“Dulu istana Kak Qila macam ni juga?”.

Pantas Kiki menoleh. Suara halus Munir akhirnya menerjah gegendang telinga Kiki. Tangan kiri Kiki mengelus kepala Munir. Dahi Munir dicium sedikit. Munir hanya mendiamkan. Agaknya dia jua terkejut kerana mampu bersuara kepada Kiki.

“Dulu istana akak tak macam ni. Dulu akak, abang dan kakak-kakak akak, kami ramai. Lima orang. Istana kami besar. Ada tembok dan lima menara. Ada dua untuk ibu dan abi akak juga.”

“Ibu dan abi tu, ayah dan mama Kak Qila?”, suara Munir menerjah lagi. Senyum Kiki melebar. Syukurlah. Munir sudah tidak takut lagi. Kiki segera menganggukkan kepala. Tangan laju mengaut butir-butir pasir dan dimasukkan ke dalam tin.

“Kalau ada abang Muzammil dan abang Munawar, kita pun akan jadi lima orang. Boleh buat menara untuk ayah dan mama juga. Mesti boleh bina istana besar. Kak Qila boleh jadi pereka. Adik Munir boleh tolong Kak Qila bina. Alan nak jadi pemerhati. Pastikan semua menara dapat disiapkan macam yang semua orang nak.”

Mazlan, ahli pemidato sekolah rendah mewakili sekolahnya ke peringkat kebangsaan. Dia banyak membaca dan menelaah.

Kalau kanak-kanak sekecil ini boleh faham bagaimana mahu membina bangunan yang berkualiti, kenapa Encik Zukiman dan Encik Shaiful tidak faham? Kenapa dibiarkan kualiti kerja diganggu oleh orang yang tidak bertanggungjawab? Kiki melepaskan keluhan untuk apa, Kiki sendiri tidak tahu.

“Abi tak nak tengok sesiapa pun ganggu kerja Zukiman. Dia dah banyak tolong abi...”, suara abi tiba-tiba mengganggu benak Kiki. Suara dua tahun lepas. Waktu makan malam bersama semua ahli keluarga. Mesyuarat keluarga tidak rasmi. Ibu melirik wajah Kiki. Kiki hanya mendiamkan. Kakak Amira melirik wajah Kiki. Kiki masih tidak bersuara. Kiki menyuap perlahan nasi yang masih penuh di pinggan. Mencubit sedikit ikan keli masak lemak cili api dan dimasukkan ke dalam mulut. Enak masakan Mak Ngah Soh.

“Orang lain dah lama makan garam. Usia baru setahun jagung, masih tak kenal rencah permainan dunia, permainan perniagaan, ada hati hendak menegur orang yang lebih dewasa...”, abi masih dengan bebelannya.

Itu kali terakhir Kiki mendengar abi membebel kerana hal syarikat. Selepas kejadian itu, Kiki tidak pernah balik ke rumah lagi.

“Kak Qila, nak letak apa kat puncak menara?”. Munir sudah menepuk-nepuk bahu Kiki. Kiki tersenyum. Baru dia tersedar yang dia masih berada di tepi pantai, bersama Munir dan Mazlan. Kenangan di meja makan itu sudah lama berlalu.

“Kita letak bendera Malaysia. Biar semua pelaut di Laut Cina Selatan akan dapat melihat bendera Malaysia yang berkibar di atas istana kita.”

Munir dan Mazlan bersorak keriangan. Dalam-dalam Kiki menarik nafas yang panjang. Perjuangannya masih belum bermula sedikit pun.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home