24 May 2006

Keindahan dunia kealpaan akhirat

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Air terjun yang indah, laut yang luas terbentang dan keindahan maya yang segalanya boleh dibayangkan di hadapan mata, ditambah lagi dengan hiruk pikuk kota-kota metropolitan, bangunan-bangunan tinggi pencakar langit, filem-filem aksi, animasi dan cinta, permainan-permainan berkomputer, lagu-lagu yang diadunkan dengan video klip pelbagai jenis dan pelbagai lagi keindahan yang ada di dunia. Gadis-gadis yang cantik dijadikan ekploitasi kepada kehendak dunia juga menjadi sandaran kepada yang hanya 'ingat' kepada dunia. Sering leka dengan kereta berjenama, rumah banglo besar tersergam indah dan segala kekayaan yang diraih dengan pelbagai cara.

Buat yang bukan Islam, mungkin ada sebilangan besar yang turut bersedia dengan pelbagai fahaman agama masing-masing untuk menanti tibanya akhir zaman yang amat hampir (siapa sangka, bukan azab akhir zaman yang ditakuti yang dinanti, tapi di penghujung usia jua, kematian bukan memilih sesiapa, maut jua amat dekat dengan kita). Itulah penghujung dunia kita yang sering manusia alpa.

Alam akhirat dilupakan dan alam dunia menjadi tonggak kehidupan. Terkadang kealpaan ini bukan saja meragut segala masa senggang untuk beribadat, malah jaga meraih masa-masa kehidupan hingga kesemuanya dihumbankan kepada dunia, sedang dunia hanyalah sebuah ladang tanaman yang diusahakan seorang musafir yang akan kembali ke 'kampung halamannya' bersama hasil yang dituai. Jika baik hasilnya, maka baiklah rezeki yang akan dibawa pulang ke 'kampung' nanti. Jika tidak baik hasilnya, hasil tuaian yang buruk apakah akan menjanjikan kesenangan di 'sana' nanti?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home